-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“..Kita juga tidak wajar terlepas pandang dengan melupakan peranan institusi keluarga melalui keluarga yang bahagia lagi sempurna. Tidak diragukan lagi adalah mampu untuk mengatasi pelbagai isu sosial dengan lebih berkesan. Oleh itu, agensi-agensi kerajaan terutamanya yang bertanggungjawab menangani isu-isu sosial dan kesejahteraan perlulah menumpukan usaha mereka bagi merangka dasar-dasar dan perancangan pengukuhan institusi keluarga itu.” 

Petikan Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 

Sempena
Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari
Musim Permesyuaratan Ke-Lapan Majlis Mesyuarat Negara

Pada
Hari Sabtu, 10 Rabiulakhir 1433H bersamaan dengan 3 Mac 2012M

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Institusi keluarga adalah penting untuk pembentukan sebuah masyarakat dan Negara yang berintegrasi tinggi dan diibaratkan tiang yang menjadi asas kepada sebuah rumah untuk berdiri megah. Oleh itu, terpimpinnya sebuah keluarga akan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera dan cemerlang manakala rapuhnya sebuah keluarga akhirnya akan dapat meruntuhkan masyarakat dan Negara.

Negara Brunei Darussalam mengisytiharkan hari Ahad minggu pertama dalam bulan Mei setiap tahun sebagai Hari Keluarga Kebangsaan (HKK). Pada tahun ini jatuh pada 20 Sya’ban 1439 bersamaan 6 Mei 2018. Tahun ini merupakan kali Ke-7 sambutan ini diadakan.

Sambutan di sepanjang tahun ini diadakan secara bersepadu oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan, pihak swasta badan-badan korporat dan organisasi bukan Kerajaan termasuk peringkat akar umbi.

Sambutan HKK merupakan satu wadah untuk menyatukan usaha secara Whole of Nation dalam menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian keluarga dan pengukuhan institusi keluarga untuk mengatasi segala cabaran, terutama sekali dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan negara.  

Objektif Sambutan HKK: 
- Meningkatkan kualiti kehidupan berkeluarga dengan mewujudkan persefahaman, sayang-menyayang, bantu-membantu saling hormat-menghormati
- Mengalakkan masyarakat khususnya keluarga di Negara Brunei Darussalam untuk membina keluarga bahagia atau harmoni, kukuh dan berdaya tahan 
- Memupuk kefahaman kepada masyarakat betapa pentingnya institusi keluarga dalam pembangunan masyarakat Negara Brunei Darussalam
- Membantu ke arah pencegahan dan pengurangan permasalahan kekeluargaan di Negara ini
- Menggalakkan setiap ahli keluarga meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga
- Menyemai sikap pemedulian dan tidak camah mata sesama ahli di dalam sebuah keluarga
- Meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan agama dalam kehidupan berkeluarga dan secara individu dalam mempersiapkan diri untuk masa depan
- Melahirkan generasi-generasi muda agar dapat menyumbang ke arah pembangunan Negara dengan berpandukan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB)
- Mengukuhkan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usahasama yang cekap dan berkesan kearah melahirkan masyarakat yang berkualiti demi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035

Tema HKK 2018 ialah 'Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang'.

Fokus utama sambutan HKK ialah untuk meningkatkan kesedaran pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagian dan keharmonian keluarga dan rumahtangga. Pada tahun 2018, fokus ini dikekalkan kerana inisiatif ini masih lagi relevan untuk ditangani dengan tambahan pencegahan penyalahgunaan dadah sebagai salah satu faktor keganasan rumahtangga. Daripada kes-kes yang ditangani oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sejak kebelakangan ini (tahun 2016 sehingga 2017) kebanyakan kes keganasan rumahtangga berpunca daripada pelaku iaitu samada ibubapa/penjaga atau suami yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  


Statistik Kes yang terlibat dengan Penyalahgunaan Dadah


​Jenis Kes ​
​Jumlah Kes Keseluruhan
​Jumlah kes yang mana pelaku
terlibat dengan penyalahgunaan dadah
​Peratus kes yang mana pelaku
terlibat dengan penyalahgunaan dadah
​2016​2017​2016​2017​2016​2017
​Keganasan rumahtangga​52​26​10​9​19%​34%
​Penderaan terhadap kanak-kanak​35​23​8​6​22%​26%
​Jumlah Keseluruhan​87​49​18​15​22%​26%

Sumber: Jabatan Pembangunan Masyarakat


Statistik Tangkapan Am bagi Penyalahgunaan Dadah

​Tahun​2015​2016​2017
​Jumlah Tangkapan​639​641​772

Sumber: Biro Kawalan Narkotik




ACARA-ACARA SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN KALI KE-7 (2018)

Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-7 
Hari Khamis, 3 Mei 2018 bersamaan 17 Sya’ban 1439 

Acara Kemuncak: 'Acara Perhimpunan Keluarga: Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni' 
Hari Ahad, 6 Mei 2018 bersamaan 20 Sya’ban 1439 

Majlis 'Anakku Kesayanganku'
Hari Isnin, 7 Mei 2018 bersamaan 21 Sya’ban 1439




POSTER RASMI SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN KALI KE-7 (2018)

     



Ikuti aktiviti-aktiviti Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2018 melalui Instagram rasmi HKK iaitu @harikeluargakebangsaan,
dan hashtag gambar-gambar HKK awda dengan menggunakan #hkknbd2018